Tuesday, November 13, 2012


PERAYAAN KAUM CINA

1. HARI CAP GOH MEI

                            Hari Cap Goh Mei merupakan kemuncak bagi sambutan Tahun Baru Cina iaitu pada hari ke-15 pada masa bulan purnama . Pada hari itu , semua ahli keluarga akan berkumpul lagi untuk makan malam bersama . Juga diadakan pemujaan terhadap roh nenek moyang mereka . Rumah-rumah dihiasi indah dengan tanglong-tanglong . Setengah-setengah keluarga orang-orang Cina akan mengadakan upacara tertentu mengikut tradisi atau sesuatu acara baru yang diwujudkan oleh mereka mengikut suasana dan cara hidup mereka . Misalnya , pada malam Cap Goh Mei itu , anak-anak gadis keluar membuangkan buah-buah limau ke dalam laut atau sungai sambil memohon sesuatu yang dihajati oleh mereka .

2. PERAYAAN CHENG BENG 

PERAYAAN CHENG BENG
Ia merupakan perayaan kepercayaan tentang menghormati roh-roh orang yang mati . Perayaan ini diadakan setiap tahun dengan membawa persembahan - persembahan di tanah - tanah perkuburan . Perayaan ini bermula dengan membersihkan tanah - tanah perkuburan saudara mara atau datuk nenek mereka . Tulisan - tulisan yang terdapat pada batu batu nisan kubur - kubur tersebut dibersihkan , malah , dicat lagi dengan warna merah atau warna emas . Kemudian , makanan , wang yang dibuat khas daripada kertas (paper money) dipersembahkan di samping acara - acara memuja roh . Kertas-kertas acara menyembah dibakar dan arak dituang di atas kubur - kubur tersebut . Orang - orang Cina percaya bahawa kertas - kertas itu akan bertukar menjadi duit di alam roh mereka . Dengan itu , akan menyenangkan kehidupan roh - roh nenek moyang mereka . Akhir sekali makanan yang dibawa tadi , dibungkus kembali dan dibawa pulang untuk dimakan .
  

3. PERAYAAN HANTU LAPAR 

PERAYAAN HANTU LAPAR
Bagi orang - orang mati dan tidak mempunyai saudara - mara yang membuat persembahan kepada mereka di dalam perayaan Cheng Beng tersebut , ada suatu perayaan yang dikhaskan untuk mereka . Perayaan ini dinamakan Perayaan Hantu Lapar . Perayaan ini dirayakan terutamanya oleh suku Kantonis pada hari ke-14 bulan ketujuh kalendar Cina . Suku Hokkien menyambutnya sehari kemudian . Persembahan buah - buahan dan daging dibuat . Setanggi dan kertas - kertas acara menyembah dibakar di hadapan rumah masing - masing . Perayaan yang lebih meriah lagi diadakan di tempat - tempat seperti di pasar - pasar . Di sini meja - meja besar disediakan penuh dengan makanan untuk dipersembahkan kepada semangat - semangat . Wayang - wayang opera dan pertunjukan - pertunjukan patung diadakan bagi menyerikannya lagi . Pada hari penghabisan bulan ketujuh ini , upacara ini akan diadakan sekali lagi . 

4. PERAYAAN KUIH BULAN 

                                                PERAYAAN KUIH BULAN
Perayaan ini adalah merupakan suatu perayaan di dalam musim menuai yang biasanya disambut dalam lingkungan dua minggu selepas atau sebelum 23hb September pada tiap-tiap tahun. Ia bersamaan dengan 15hb bulan ke-8 kalendar Cina . Pada hakikatnya , perayaan ini ialah bagi petani-petani pada zaman dahulu tetapi , masih disambut dan dirayakan lagi sehingga masa ini oleh orang-orang Cina di negara kita , meskipun musimnya tidak ada kena-mengena dengan musim menuai di Malaysia . Kuih bulan yang berbentuk bulat yang merupakan sebagai bulan , berintikan pes kacang , biji teratai , telur , daging babi dan sebagainya . Di atasnya diterap dengan tulisan Cina bermakna bulan beserta rupa tuhan bulan itu sendiri . Ia disediakan untuk menyambut perayaan ini dan kuih itu untuk dipersembahkan kepada tuhan bulan .
LAGENDA MENGENAI PERAYAAN KUIH BULAN
Perayaan ini bermula apabila seorang Jeneral keturunan Han mengetuai suatu revolusi menentang regim Mongul (Dinasti Yuan) . Di dalam rancangan menggulingkan kerajaan Mongol itu , mereka menggunakan kuih bulan sebagai alat komunikasi . Kerajaan tidak dapat mengesyaki perbuatan ini kerana kuih tersebut senang dibawa dan boleh dimakan dengan bebasnya . Orang-orang Han menyelitkan surat-surat yang mengandungi arahan-arahan di dalam kuih ini dalam masa kuih-muih ini dibuat secara besar-besaran . Kemudian ia dibahagi-bahagikan kepada orang-orang Han . Dan apabila mereka membelah kuih-kuih tersebut , mereka dapat arahan - arahan untuk melancarkan revolusi. Lalu mereka pu mempersiapkan diri . Pada masa yang ditetapkan mereka pun melancarkan revolusi yang memeranjatkan kerajaan Mongul . Mereka berjaya dan ketika itu juga bermulanya pemerintahan Dinasti Ming . Perayaan ini juga dinamakan Perayaan Tanglong kerana selepas bersembahyang , kanak-kanak bermain-main dengan tanglong . Tanglong ini berbentuk binatang seperti arnab , serangga , burung , rama-rama , bunga dan ikan . Ada juga yang berbentuk kapal terbang , helikopter , kereta dan sebagainya sesuai mengikut selera masa sekarang . Meskipun perayaan ini adalah untuk petani-petani tetapi terdapat juga kepercayaan bagi menghormati dan menyembah bulan terutama bagi kaum wanita yang ada hubungannya dengan dewi kecantikan . Dikatakan juga bahawa pada malam hari ini bulan bersinar dengan lebih terang lagi daripada hari-hari biasa . 

5. TAHUN BARU CINA 

TAHUN BARU CINA
Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang paling penting bagi kaum Cina . Pada hakikatnya , ia dirayakan oleh orang-orang Cina di seluruh dunia . Orang Cina menyambut Tahun Baru pada hari pertama dalam bulan pertama mengikut perkiraan kalendar Cina . Tahun Baru Cina biasanya jatuh pada di antara 21hb Januari hingga 20hb Februari , tahun Masihi . Orang-orang Cina sangat mempercayai semangat , dewa-dewi , roh , hantu dan banyak tuhan . Mereka memuja dan mengadakan acara-acara menyembah sesuai dengan kepercayaan -kepercayaan mereka . Perayaan Tahun Baru Cina ini bermula pada 24hb Bulan ke-12 kalendar Cina , apabila tuhan dapur ( tuhan yang sangat popular di kalangan orang Cina) dihantar ke syurga . Di syurga , tuhan ini akan membuat laporan kepada Maharaja Jade tentang keadaan setiap rumah dalam sepanjang masa di tahun lalu. Sejenis kuih , 'nian gao' , yang diperbuat daripada pulut dan berasa manis dipersembahkan kepada tuhan tersebut sebagai hadiah perpisahan . Ini diharapkan agar di syurga nanti tuhan itu akan terkunci mulutnya dengan kelekitan pulut tersebut dan jika tidak pun ia akan memberi laporan yang baik-baik kerana kemanisan kuih tersebut .
LAGENDA MENGENAI ASAL-USUL PERAYAAN TAHUN BARU CINA
Pada zaman dahulu , orang Cina hidup secara sederhana sekali . Pakaian mereka dibuat daripada kulit-kulit binatang sahaja. Mereka memakan makanan yang mudah . Mereka bebas dan merasa sangat berpuas hati . Kemudian mereka menetap pula di suatu dataran di lembah Sungai Kuning yang kaya dengan hasil tanaman . Lalu mereka pun membuka sebuah kampung dan membentuk sebuah masyarakat . Mereka hidup dalam aman damai . Tetapi , pada suatu malam yang dingin, mereka telah diserang oleh raksasa misteri . Ia telah mengorbankan beberapa jiwa dan juga harta-benda orang-orang kampung . Pada hari berikutnya penduduk kampung mengadakan mesyuarat. Langkah-langkah berjaga-jaga pun diambil bagi mengelakkan serangan yang kedua . Hari berganti , minggu berlalu . Tiada apa yang terjadi dan orang-orang kampung pun mula melupakan peristiwa itu . Tetapi , dengan tiba-tiba raksasa itu menyerang lagi . Kali ini melibatkan lebih banyak korban dan harta-benda . Mesyuarat kedua pu diadakan . Langkah berjaga-jaga dilipatgandakan . Sekali lagi tiada apa yang berlaku dan orang kampung pun melupakan lagi peristiwa itu. Serangan yang ketiga berlaku dengan lebih dahsyat lagi . Pasukan penyiasat pun dikerah dan nasihat dari semua tempat pu n dicari. Akhirnya seorang yang bijaksana memberitahu orang kampung bahawa raksasa misteri yang ditakuti itu akan mengulangi serangannya selepas matahari muncul sebanyak 365 kali . Ia mudah disingkirkan jika mereka mengambil langkah-langkah mempertahankan diri . Lalu mereka bermesyuarat lagi . Arahan-arahan dikeluarkan dan orang-orang bijak pandai dikerahkan mengumpulkan maklumat mengenai raksasa itu . Maka didapati bahawa raksasa itu hanya takut kepada tiga perkara iaitu bunyi bising , cahaya yang terang dan warna merah . Raksasa itu diberi nama 'nian' yang beerti 'tahun'. Jadi pada petang hari ke-365 , segala persiapan pun dibuat . Kesemua orang kampung telah bersiap sedia dengan senjata masing-masing . Rumah-rumah diterangi dengan cahaya -cahaya api dan semua barang -barang diwarnakan dengan warna merah . Bunyi bising dibuat sepanjang malam . Tahun itu berlalu tanpa serangan raksasa . Kegelisahan orang kampung pun reda . Fajar menyingsing . Setiap penduduk tersenyum gembira . Suara-suara ucap selamat dan tahniah kedengaran . Raksasa itu benar-benar mengasihani mereka . Lalu perayaan pun diadakan . Kemudian orang-orang tua yang dihormati mencadangkan agar majlis kesyukuran diadakan secara tetap pada setiap petang hari ke-365.
 

1 comment: